Sunday, April 3, 2011

Ustaz Amirul

Saya tergila-gilakan cerita Ustaz Amirul. Sampai hari ni saya masih sebal kerana tidak dapat menonton episod akhirnya di TV3. Saya memang terlupa malam tu malam  Jumaat. Saya berada di rumah opah ketika itu dan opah pula adalah peminat setia Gerak Khas. Dalam jam 9.30 baru saya sedar malam tu ada cerita Ustaz Amirul. Alahai ralatnya hati saya ... Tetapi dari kata teman saya di fb, Adawiyah meninggal dunia. Pasti sedih waktu itu. Cinta sejati, cinta sejak di alam persekolahan.Ohhhh TV3 tolonglah tayang semula episod akhir Ustaz Amirul. Kalau ASTRO saya tak hairan, pasti akan ditayang berulangkali sampai saya jemu dan muak ^_^

Saya sebenarnya tidak lihat pun episod awal drama Ustaz Amirul. Hanya 13 episod sahaja ceritanya. Saya mula melihat cerita ini apabila Adawiyah pulang semula ke kampung setelah membawa diri kerana terluka dengan tindakan keluarga Ustaz Amirul yang menghantar Ustaz Amirul belajar ke Mesir setelah mereka tamat peperiksaan SPM dan menghalang keinginan mereka untuk bernikah. Ketika Adawiyah pulang, Ustaz Amirul telah bertunang, hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk berkahwin dengan Munirah atas nasihat keluarganya. Munirah adalah seorang gadis ayu dan cantik yang bekerja dengan keluarganya. Ustaz Amirul sememangnya resah dengan kepulangan Adawiyah tambahan pula di masih mencintai Adawiyah. Saya masih ingat sedikit kata-kata Ustaz Amirul kepada keluarganya, sekiranya Adawiyah pulang awal dari hari pertunangannya dengan Munirah, pasti pilihan hatinya adalah Adawiyah. Ya betullah kata pepatah, "Jodoh, Maut, Pertemuan dan Perpisahan semuanya di tangan Allah". Ustaz Amirul akhirnya bernikah dengan Munirah.


Apa yang saya suka tentang cerita ini ialah tentang nilai kesabaran, ketakwaan, pasrah dengan ketentuan Allah. Nilai-nilai ini yang membuatkan saya tersangkut dihadapan tv setiap malam Jumaat. Adawiyah yang telah insaf, yang telah pulang semula ke kampung, menerima pernikahan Ustaz Amirul dengan redha. Malahan dia juga yang bertungkus lumus menyiapkan persiapan majlis pernikahan dan perkahwinan Ustaz Amirul. Kalau saya, mampukah saya melihat orang yang saya cintai diijabkabulkan dan bersanding dengan wanita lain? Kekuatan yang ada pada diri Adawiyah membuatkan saya rasa bangga. Redha dengan ketentuan Allah, di mana selepas perkahwinan Ustaz Amirul dan Munirah, Ustaz Amirul dan Adawiyah telah mengenepikan soal hati dan perasaan mereka dan menjadi sahabat. Begitu juga Munirah, menjadi sahabat kepada Adawiyah dan mengetahui banyak perkara yang disukai oleh Ustaz Amirul dari Adawiyah.

Drama ini sebenarnya mencapai kemuncaknya, apabila Adawiyah terlantar sakit. Ketika itu Munirah mendapat tahu bahawa ketika Adawiyah melarikan diri ke Kuala Lumpur dia telah ditipu, diperkosa dan dijadikan pelacur oleh lelaki jahanam (saya rasa istilah ini sesuai digunakan untuk lelaki yang jahat, yang tidak berperikemanusiaan kerana merosakkan maruah wanita). Lantas Munirah meminta Ustaz Amrul berkahwin dengan Adawiyah kerana simpati dengan keadaan dan nasib Adawiyah. Ustaz Amirul menolak cadangan Munirah kerana pada masa itu cintanya telah berputik untuk Munirah. Tetapi desakan demi desakan dari Munirah, Ustaz Amirul dan Adawiyah akhirnya bersetuju untuk benikah. Ketika ini kalau dilihat, persoalan isu keadilan dan simpati dikemukakan. Nilai keadilan ialah mampukah Ustaz Amirul bertindak adil terhadap kedua-dua wanita tersebut? Bukan senang mahu berpoligami. Jadi awas lelaki di luar sana, kalau ada rasa ingin berpoligami, tanya pada diri 'mampukah aku bertindak adil'. Kalau mampu dipersilakan ^_^. Dan yang buat saya rasa terharu ialah di malam pernikahan Ustaz Amirul dan Adawiyah, Ustaz Amirul tidak bersama dengan Adawiyah kerana ketika itu hati, minda dan perasaannya hanya teringat pada isteri pertamanya Munirah. Jadi dia rasa tidak adil untuknya bersama dengan Adawiyah sedangkan hati dan fikirannya sedang mengingati Munirah.

Tetapi kemudiannya konflik timbul apabila Munirah mula menunjukkan rasa cemburunya. Ialah wanita mana yang sanggup berkongsi kasih, dimulut mengatakan ya tetapi dihati hanya Allah sahaja yang tahu. Tapi saya suka dengan sikap Munirah, demi kebahagiaan suaminya dia sanggup berkorban hati dan perasaannya. Munirah pada awalnya cuba mengawal perasaan cemburunya tetapi disebabkan hasutan demi hasutan dari beberapa individu tertentu, Munirah tidak dapat lagi menyembunyikan rasa cemburunya. Api cemburu itu diluahkan dari tindak tanduknya.


Hanya itu sahaja yang saya tahu. Sebab itu saya ralat tak dapat tengok episod akhir Ustaz Amirul. Saya cuma tahu Adawiyah meninggal dunia, tak tahu disebabkan apa tetapi saya rasa mungkin disebabkan penyakit yang dialaminya. Munirah saya rasa pasti menyesal atas perlakuannya. Tetapi saya tahu Adawiyah dan Munirah telah menjadi isteri yang terbaik untuk Ustaz Amirul dan Ustaz Amirul telah menjadi suami yang terbaik untuk kedua-dua isterinya. Menjadi pelindung dan membimbing kedua-dua isterinya ke jalan yang diredhai Allah.

Kesimpulannya saya bagi 5 bintang untuk drama ni. Hopefully akan ulang tayang semula kerana saya terlepas lihat episod awal.

1 comment: