Saturday, December 10, 2011

Berjaya Juga

Saya akhirnya berjaya juga berjaya edit gambar dengan guna photoshop. Ini hasilnya gambar yang saya tangkap masa gi Taman Rekreasi Gunung Lang. Seronok sesangat ...

Opsss saya tak leh lama kat sini ... saya nak tutup komputer ... kawan saya dalam perjalanan ke rumah saya. Kami nak gi tonton Ombak Rindu hari ni .... jumpa lagi .... ^_^



Mak Long Jangan Beli Yang Mahal-Mahal Ya!

Assalamulaikum sahabat ...

Pagi Sabtu yang indah dan tenang. Saya bercuti hari ini. Dok layan cerita Maria Anissa di Astro Prima sambil jari-jemari lincah menari di atas keyboard ni. Semalam dalam sibuk membelek gambar-gambar dalam komputer saya terjumpa gambar cinta hati saya Danish dan Pa. seronok sangat lihat gambar mereka berdua, hilang rasa rindu.

Gambar ni ditangkap selepas sahaja saya beli Ultraman untuk mereka. Birthday Danish 1 Oktober. Saya tanya pada Danish sama ada nak kek atau hadiah. Danish kata dia nak Ultraman. Jadi saya bawa cinta hati saya berdua ni ke Tesco. Dalam pilih punya pilih, akhirnya inilah yang dipilih oleh mereka berdua patung Ultraman berharga RM59.90. Itu baru satu tapi saya kena beli dua, sebab Danish dan Pa umpama kembar. Kalau beli untuk Danish mesti ada untuk Pa begitu juga sebaliknya. So berpeluh jugalah saya mengeluarkan duit hampir Rm120.00.

Saya teringat dialog saya pada Pa, 'Pa jangan ambil yang mahal-mahal tau, mak long tak ada duit'. Pa menganggukkan kepalanya. Pas tu bila dia pilih ultraman tu dengan selamba dia kata 'Mak long, jangan ambil yang mahal-mahal ya". Adoiiiiii ... garu kepala jap bila tengok harga .....


Seronoknya adik dan abang dapat Ultraman 


Happy Birthday sayang ....


Aksi ala-ala Ultraman ...


I love your smile Pa


Thursday, December 8, 2011

Daun yang Gugur Tidak akan Membenci angin



“Ya Allah, di saat aku memohon seorang teman, Kau anugerahkan dia dalam hidupku yang menjadi teduhanku dari bahang kemarau kehidupan. Aku bersyukur kerana aku ditemukan dengan dia. Disaat kau meminta dia dariku, aku redha kerana aku dan dia nyata Milik-Mu.

PadaMu kuserahkannya. Andai pengorbanan itu mahar keredhaan kerana saat kau hadirkan pertemuan telahku redha untuk sebuah perpisahan”.

Tuesday, December 6, 2011

Bubur Tepung Pulut


Hari ni saya rajin sesangat. Tambah-tambah lepas lihat photo yang tidak diduga. Jadi untuk hilangkan kedukaan saya penuhkan aktiviti saya dengan memasak. Sejak akhir-akhir ni saya rajin memasak, mencuba resepi-resepi baru. Al-maklumlah banyak sangat beli buku resepi, takkan setakat simpan jer kot, pasti nak cubakan? hehe ...

Hari ni saya cuba pertama kalinya 'Bubur Tepung Pulut'. Selalunya saya akan nampak bubur ni time bulan Ramadhan. kali ni saya mencuba buat pertama kali. Alhamdulillah menjadi. Tanya kat ahli keluarga, semuanya kata sedap hehehe ....

Bahan-bahannya senang jer iaitu tepung pulut, santan, gula kabung, gula merah pastu pewarna merah dan hijau. Tepung pulut dibubuh dalam mangkuk, isi air sedikit demi sedikit, jangan lupa taruh garam sikit. Pas tu  adunan dibahagi dua, satu diwarna merah dan satu lagi hijau (nak bubuh kaler aper suka hati hehe). Bulatkan, tapi jangan lupa bubuh gula kabung kat tengahnya. Rebus dalam air mendidih. Bila dah muncul kat atas, angkat. Cam mana nak wat kuah yer plak? Senang jer tu, kacau santan atas api, bubuh gula merah tapi kalau tak bubuh pun tak apa. Pas tu masukkan lah tepung pulut. Oh ya jangan lupa bubuh daun pandan supaya wangi.

Selamat Mencuba. Tu pun kalau nak cubalah yer ....^_^

Catatan Harian Hari Ini Sehingga Jam 1 Petang

Hari ni saya cuti, menghabiskan cuti tahun. Kebetulan hari Selasa, saya tak ada kelas jadi tiap-tiap hari Selasa cuti hingga hujung tahun ni.

Pagi-pagi mak dah kejutkan saya solat subuh, pas tu hantar mak kerja. Pas tu membaca novel 'Awak Suka Saya Tak?" kiriman kawan saya, Wa. Tak habis-habis lagi saya membaca walhal dah seminggu saya menerima kiriman buku tu... hehe ... buku tu menarik sangat-sangat. Saya memang suka jalan cerita yang bersahaja, tidak berat tapi penuh dengan mesej. Membacanya buat saya tersipu-sipu tersenyum. Adakala macam terkena kat batang hidung saya jer (sikit jer lah yang terkenanya). Tapi belakangan ni fikiran saya kusut masai (adoiii ingat rambut jer yang kusut hehe) dengan pelbagai masalah peribadi saya yang datang satu persatu ... tu yang buat saya macam siput menghabiskan buku tu ... hehe .... Wa, jangan marah kat aku yer kalau ko baca entri aku ni hehe ...

Pas habis baca novel, saya mandi , kemas bilik yang macam sarang tikus tu, pas tu gi bank bayar duit encik kad kredit kat Hong Leong Bank... adoiiii gugur rambut bayar duit encik kad kredit tiap-tiap bulan. Tapi tangan tu still dok gatal gak guna ... hehe .... pas tu gi CIMB masukkan duit dalam akaun simpanan CIMB dan ASB. Simpanan masa tua, simpanan masa susah, boros...boros juga, simpan pun kena jugak hehe .... Alhamdulillah urusan kat bank tak ambik masa yang lama walaupun tiga kali saya pusing bangunan tu cari parking. Selesainya semuanya singgah kedai, beli sayur. Sebelum keluar rumah tadi sempat pesan kat tok supaya jangan masak, hari ni saya nak masak. Kesian lak tengok tok ngan opah masak tiap-tiap hari kerana saya dan mak kerja. Walaupun tok dan opah  dengan rela buat semua tu, tapi saya kesian sangat tengok tok. Dia dah tak larat, selalu lak sakit-sakit. Hari ni tok ngan opah rehat ya, hari ni cucu opah ngan tok akan tunjuk kebolehannya memasak ... hehe ^_^

Opsss tunggu jap, nanti saya sambung. Saya dah terdengar bunyi 'Ting' dari dapur. Sebenarnya saya baru jer selesai memasak. Cuma tunggu ayam panggang saya kat dalam oven tu. Bukannya susah sangat masak ayam panggang ni, masuk jer dalam oven, set masa, dah siap berbunyi ler ia. Tak yah nak tunggu-tunggu. ^_^ Sambil tunggu ayam masak, jari jemari saya lincah menari-nari di atas keyboard ni.

Saya gi dapur jap. Sat gi saya sambung lagi ......
*********************************************

Sambungan dari catatan awal:

Saya baru sahaja lepas makan tengah hari ngan tok dan opah. Sebelum makan sempat tangkap gambar untuk masukkan dalam blog ni .... sajer suka-suka. Yang penting hati bahagia. Betul tak?


Ni ayam panggang .... tok ngan opah kata sedap. Yang penting saya happy bila tengok opah ngan tok ligat memakannya. Cuma sayang sekali saya tak buat air asamnya ...


Menu kedua ialah sambal tumis telur. Hmmm sedapnya ... saya paling suka yang ni .... mak pun kata sedap ... mak kata lain kali leh masak lagi and rajin-rajin ler turun ke dapur hehe ... dalam maknanya tu ...


Tumis kacang buncis ... melambak-lambak saya bubuh bebola ikan ... tak per yang penting saya suka makan .... hehe ...

Tuesday, November 29, 2011

Awak Suka Saya Tak?



Hari ni dapat kiriman novel dari sahabat baik saya semasa di universiti dahulu "Awak Suka Saya Tak?". Kalau lihat dari tajuk bagi saya tidak ada apa-apa yang menarik tentang novel ini. Tetapi saya tahu kalau sahabat saya beria-ia menyuruh saya membacanya dan sanggup membelikannya utk saya, sudah pasti ada yg istimewa tentang novel ini. Tambahan pula sahabat saya ni, bukan penggemar novel Melayu, hanya meminati novel berbahasa Inggeris. Katanya, bila baca 3 muka surat saja sudah membuat kita rasa ingin membaca dan membaca lagi. 

Saya baru membaca hingga bab 6. Kisah yang sarat tentang kasih sayang. Kisah cinta pada agama. Dengan kasih sayang Allah,  tiada yang mustahil ....

‎"Awak Suka Saya Tak?

Kisah tentang kasih sayang di antara Hilman Yong, kacukan Korea-Amerika-Cina dan Intan Zulaikha. Mereka sangat berbeza tetapi kerana perbezaan itulah mereka berjodoh. Namun, apakah kesudahan jodoh mereka apabila Hilman Yong, seorang yang baru mengenali Islam lebih mencintai Islam daripada Intan Zulaikha yang sememangnya dilahirkan Islam"

Walaupun saya belum membaca novel ni habis tetapi dari 6 bab terawal saya baca, saya tahu novel ini benar-benar istimewa. Novel setebal 1056 muka surat boleh didapatkan di MPH dengan harga RM35. Tapi saya dapat secara percuma ^_^. Terima kasih Wa ... amat-amat dihargai.

Petikan Novel: Awak Suka Saya tak?

"Saya cuma mahu awak berjanji yang awak akan sentiasa mempercayai saya, sentiasa di sisi saya, mendengar saya....jangan ada sedikit pun rasa ragu-ragu. Sentiasa di samping saya ketika susah atau senang, baik atau buruk....sentiasa menyokong saya dengan sepenuh hati awak....."

Di antara dialog Hilman kepada Intan yg saya suka : "Cinta ialah memelihara dan menjaga kesucian wanita yang saya suka. Saya tidak akan menyentuhnya selagi dia belum sah menjadi isteri saya." ayat yg wajib dipegang tak kira teruna atau dara dalam nilai2 moral yg semakin runtuh hari ini.. DENGAN KASIH SAYANG ALLAH, TIADA YANG MUSTAHIL....


Sunday, November 27, 2011

Yaya Cinta Hati Saya

Danish dan Pa sibuk ikut saya hari ni, tapi Yaya kena tinggal rumah. Tak berani saya bawa ramai-ramai kalau hanya saya seorang sahaja yang jaga. Sebenarnya kalau nak bawa Yaya pun boleh juga ke Tesco, Yaya baik, tak banyak ragam tapi saya tak berani lagi. Hmmm tunggu Yaya besar skit lagi ya, nanti mak long bawa Yaya jalan-jalan.

Ni aksi Yaya bila saya tangkap gambar dia. Nampak macam tercengang jer ... hehe ... comel nyer Yaya ni .... hehe ....sayang Yaya ....





Jalan-Jalan Denga CinTa Hati Saya

Hari ni saya bawa cinta hati saya berjalan-jalan. Sudah banyak kali saya berjanji dengan Danish tapi saya tidak tunaikan janji saya. Kasihan dengannya kerana menunggu saya, sampai mak dan ayahnya keluar berjalan-jalan pun dia tak nak ikut. Jawapannya pada maknya, "nak ikut mak long" tapi mak longnya asyik terperap kat rumah jer.

Petang ni mereka akan pulang. Jadi pagi-pagi saya dah bawa Danish dan Pa ke Tesco. Mereka gemar ke Tesco. Hari ni saya tanya nak apa. Katanya nak cd Mashimaro, dalam citer Upin Ipin. Ada ke watak Mashimaro dalam Upin Ipin, yang saya tahu patung Mashimaro ader lah . Tapi saya diam jer, ikut ajalah kehendak cinta hati saya. Saya sanggup berhabis duit kerana mereka berdua ni. Rupa-rupanya Mashimaro yang dikatakan oleh Danish ialah watak Opik (tak pasti ejaannya) dalam filem Geng Pengembaraan Upin Ipin. Ini dah kali ketiga saya beli DVD ni. Kali ni yang original. Jangan rosakkan lagi ya sayang. Seronok sangat mereka berdua bila dapat DVD.

Pas beli DVD, pas jalan-jalan dalam Tesco, bawa depa gi main. Tu yang seronok depa tu .....Ni beberapa keping gambar cinta hati saya yang sempat saya rakam masa di Tesco. Cute!


Nampak tak DVD Upin dan Ipin tu, disebalik keropok-keropok


Pa memang suka bergaya dihadapan kamera. Suka sangat bila gambar diambil.


Ni aksi apa ni hehe


On the way balik .... seronok ya Danish

Thursday, November 3, 2011

Aksi-Aksi nakal

Dalam sibuk mengemas barang-barang opah ngan tok untuk berpindah ke rumah saya, sempat juga saya merakam aksi-aksi nakal cinta hati saya. tak habis-habis dengan gaya ultramannya ... hehe




Kenangan Terindah

Saya dilahirkan di rumah ini, di sini tempat saya membesar. Kini semuanya tinggal kenangan. Mak kata usia rumah ini ialah mengikut usia emak. Maknanya usia rumah ini mencecah 54 tahun. Asalnya kecil saja tapi kemudiannya dibesarkan sedikit demi sedikit. Rumah ini memang milik opah dan tok, cuma tanahnya saja bukan. Tanah ni milik orang lain. Orang yang banyak berjasa pada opah dan tok. Amanah/ wasiat tuan punya tanah kepada anak-anaknya agar membiarkan opah dan tok tinggal di sini sehingga akhir hayat mereka. Semua orang tahu tentang perjanjian itu. tapi bila tuan tanah dah meninggal, hanya tinggal anak-anak saja, mereka ambil keputusan jual tanah ini.

Dengar cerita kawasan ini akan didirikan rumah anak yatim. Hmmm ... rumah anak yatim dibina di sini tapi warga emas di suruh keluar tanpa diberi bayaran apa-apa. Sedangkan kalau kerajaan pun akan membayar atau pun mencari rumah lain kalau mereka ingin robohkan rumah setinggan. Tapi keluarga saya tak banyak cerita, kalau dah disuruh keluar, terpaksa keluarga jugalah. Nak buat cam mana, bukan harta kami. 

Rumah ini punya cerita. Rumah ini punya kenangan terindah buat saya. Hari-hari terakhir saya di rumah ini, saya banyak menangkap photo disekeliling rumah. Kenagan waktu tua saya. Kenangan untuk saya bawa sebelum saya pergi dunia ini. Memori saya di rumah ini cukup segar, terutama ketika zaman kecil saya.

Halaman depan rumah
Halaman depan rumah

Belakang rumah

Dari tepi

Pokok Benia di halaman rumah


Pokok Cempedak di depan rumah. Melepas nak makan .....


Opah rajin tanam bunga. Kat sekeliling rumah banyak pokok bunga....



Tuesday, November 1, 2011

Secebis Rasa

assalamualaikum ...

Jam hampir mencecah jam 11 malam. Mata saya sebenarnya sudah mengantuk, tetapi sebelum tidur saya gagah juga untuk meninggalkan sedkit catatan kehidupan saya di sini.

Saya sebenarnya tak beberapa sihat hari ni. Sakit perut dan cirit birit. Mungkin keracunan makanan. Begitu juga dengan emak saya. Emak mc hari ni. Tetapi saya gagahkan diri juga untuk kerja hari ni. Mujur hari ni tiada kelas. Kalau tidak haru-biru juga.

Hari ni hari ke-9, opah dan tok tinggal di rumah saya. Saya senang sekali dengan kedatangan tok dan opah ke rumah ini. Saya juga cukup terharu apabila tok memilih untuk tinggal di rumah saya. Cuma yang saya sedihkan ialah rumah kampung, saya rasa bukan saya seorang sahaja yang bersedih, hampir keseluruhan ahli keluarga besar saya bersedih dengan kehilangan rumah kampung. Tapi nak buat macam mana, mungkin hanya setakat ini sahaja jodoh kami dengan rumah lama tu. Aduhai terlalu banyak sebenarnya kenangan saya di sana. Saya juga dilahirkan di rumah itu. Mungkin di dalam entri saya yang lain akan saya imbas kembali segala kenangan saya di rumah itu.

Hari ni saya rindukan seseorang. Baru-baru ni DIA ada datang ke Malaysia tetapi saya tidak berkesempatan untuk berjumpa dengannya. Bukan tiada kesempatan sebenarnya, tetapi saya yang menolak permintaannya. Hanya ada satu sebab sahaja saya menolak, dan biarlah saya yang tahu. Dia juga tahu, saya telah jelaskan kepadanya. Saya tahu DIA berkecil hati. Kini dah seminggu lebih DIA pulang. Seperti biasa DIA sibuk dengan kerja-kerjanya. Saya tahu DIA mengutamakan kerjanya lebih dari saya. Saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Berkuasa. Sekiranya ditakdirkan DIA jodoh saya, saya tetap akan bersamanya juga walau di mana DIA berada. Saya juga lega kerana hati dan perasaan saya telah pulih. Saya sudah tidak menangis seperti dahulu lagi. Mungkin kerana terlalu banyak menangis membuatkan airmata saya sudah tidak boleh menangis lagi. Saya lebih tenang menjalani hidup saya. Sebenarnya ada sesuatu yang menyedarkan saya untuk bangkit dari kekecewaan saya. Saya pernah terbaca sebuah blog tentang cinta, tentang jodoh. Dan saya sedar saya tidak boleh berterusan sebegini. Saya rasa tenang selepas memaafkan segala kesilapannya. Saya rasa damai apabila saya menerimanya sebagai seorang sahabat dan melepaskan CINTAnya yang terpahat kukuh dihati saya selama ini. Saya yakin, kalau DIA jodoh saya, pasti DIA akan kembali pada saya. Kalau tidak, biarlah segala kenangan itu menjadi sebahagian suka duka kehidupan saya yang akan saya bawa sehingga penghujung nafas saya yang terkhir.


Saturday, October 8, 2011

Selamat Pagi ....

Sungguh... Tidak mudah tersenyum ketika hati menangis, tetapi akan terasa indah ketika kita menyedari itu bahagian dari kasih sayang Ilahi. Tidak mudah bangkit dalam keadaan terpuruk, tapi akan terasa indah ketika kita menyedari saat itu Allah sedang menyapa dengan cinta Nya, Tidak mudah memaafkan ketika kita dibenci dan di hina, tetapi akan terasa indah kalau itu bahagian dari penyucian diri ...... Tidak mudah melupakan masa lalu yang menyakitkan, tetapi akan terasa indah ketika menyedari itulah jalan yang harus ditempuh untuk mengawal kebahagiaan yang akan diberikan Allah sebagai penggantinya. 

Cinta kasih sayang Dan persahabatan tumbuh dari hati yang tulus... 
Selamat pagi sahabat dan tetaplah tersenyum keranaa semua akan berakhir dengan indah dalam sabar dan syukur... Insya Allah .. Aamiin

Friday, October 7, 2011

Kalau Saya Pergi Dulu

Awak
Kalau saya pergi dulu
Saya nak tanya awak
"Pernah tak awak menyintai saya?"

Awak
Kalau saya pergi dulu
Saya nak awak tahu isi hati saya
Saya sayang awak
Tapi ...
Sampai hati awak tinggalkan saya
Awak membisu seribu bahasa
Awak biarkan saya seorang diri
Sedangkan awak pernah berjanji
Akan bersama saya

Awak,
Saya cuba menjadi sempurna di mata awak
Saya cuba lakukan yang terbaik untuk awak
Tapi saya tahu itu tak cukup buat awak
Saya tetap bukan pilihan awak
Awak tetap pergi tinggalkan saya

Awak
Sejak awak pergi 
Saya melalui hari-hari saya dengan sepi sekali
Semua kegembiraan saya lenyap sekelip mata
Walau luarannya orang masih lihat saya tersenyum, tertawa, makan dan minum
Namun ....
Jiwa saya kosong
Diri saya telah lama mati dihari awak tinggalkan saya

Awak
Sampai hati awak tinggalkan saya
Awak tak pedulikan saya
Sedangkan awak tahu
Saya bernafas dengan cinta awak
Setiap denyutan jantung saya berdenyut dengan menyebut nama awak
Tapi sampai hati awak ....

Awak,
kalau hari ini hari terakhir saya hidup
Kalau hari ini hari terakhir jantung saya berhenti berdenyut
Saya nak awak tahu
Walau betapa jahatnya perbuatan awak pada saya
Awak tetap istimewa di mata saya

Awak
Kalau saya pergi dulu
Maafkan saya ya awak...
Kita tak tahu bila kita akan pergi, 
Mungkin hari ini, esok atau lusa
Tapi saya nak awak tahu
Saya Cintakan Awak

TAHAJJUD CINTA


Saya baru sahaja layan cerita Tahajjud Cinta karya Erma Fatimah. Sebenarnya saya ada mengikuti  cerita ini di awal episod, ditengah-tengah tidak mengikutinya dan 3 minggu belakangan ni saya mengikuti semula cerita ini. Cerita ini benar-benar menarik perhatian saya selepas 'Nur Kasih' dan 'Ustaz Amirul'. Syabas diucapkan untuk Erma Fatimah.

Episod hari ini buatkan saya geram sangat dengan lakonan Eman Manan yang membawa watak sebagai Ustaz Shauki. Bersimpati dengan Seri yang dilakonkan oleh Fauziah Ghous. Seorang isteri dilayani seperti binatang buas oleh suami sedangkan suami mempunyai 3 isteri yang lain. Seorang isteri yang menjadi deraan suami.  Malam ini saya simpati sangat dengan nasib Seri yang dikurung dalam rumah, tidak dibenarkan bergaul dengan orang lain. Seri juga dipijak dan dipukul oleh Ustaz Shauki apabila tidak mendengar kata Ustaz Shauki agar jangan berhubung dengan Citra. Saya juga sukakan watak Citra yang di bawa oleh Nur Fazura. Citra yang berjuang untuk membela nasib wanita yang ditindas. 

Sebelum ini saya pernah membaca kritikan tentang drama ini kononnya tidak sehebat Ayat-Ayat Cinta atau pun Ketika Cinta Bertasbih dari negara jiran kita tetapi bagi saya itu tidak benar. Ada juga yang mengatakan drama ini mempersendakan agama Islam terutama tentang pemakaian jilbab. Ada juga yang minta drama ini dihentikan siarannya. Tapi bagi saya cerita ini banyak pengajarannya terutama tentang wanita yang ditindas dan didera oleh suami, dipergunakan oleh lelaki untuk memuaskan nafsu, tiada keadilan dalam berpoligami. Dalam kehidupan, keadaan sebegitu memang banyak berlaku. Mungkin ia mencetuskan kemarahan dan kebimbangan apabila ia memaparkan tentang realiti kehidupan masyarakat kita hari ini. Dan mungkin juga ada kebenarannya bila seseorang yang bukan beragama Islam, tidak tahu hukum hakam dan melihat drama ini boleh memberi perspektif yang negatif tentang Islam. Bagi saya, setiap orang melihat dari sudut pandangan masing-masing. 

Erma Fatimah telah membuktikan kemampuannya. Lakonan yang mantap dari barisan pelakon popular tanahair seperti Remy Ishak, Eman Manan, Erma Fatimah, Tiz Zaqyah, Melisa saila, Fauziah Ghous, Nur Fazura dan ramai lagilah.

Saya tak nak komen banyak-banyak tapi di sini saya letakkan sinopsis drama Tahajjud Cinta.


TAHAJJUD CINTA mengisahkan pengorbanan dua orang wanita, Citra Maisara (Fazura) dan Seri (Fouziah Gous) dalam memperjuangkan kebenaran, hak asasi dan reputasi kaum hawa. Berasal dari dua latar belakang yang berbeza, Citra merupakan anak perempuan kepada pasangan suami isteri yang merupakan peneraju sebuah syarikat gergasi. Selama 5 tahun belajar di luar negara, ibu bapa Citra sama sekali tidak mengetahui bahawa anaknya yang dihantar ke London untuk mengikuti kursus Perundangan Sivil telah berhijrah secara rahsia ke Jordan untuk mendalami jurusan Perundangan Syariah. Di situ, Citra bertemu semula dengan kawan karibnya, Seri yang berkongsi cita-cita yang sama.
Perjalanan hidup mereka mula dihujani dengan pelbagai dugaan dan tekanan hebat setelah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing di Malaysia. Sekembali di Malaysia, ibu bapa Citra sangat terkejut dengan perubahan dan kelulusan yang diperolehinya. Begitu kecewa dengan tindakan Citra, ibu bapanya tidak merestui Citra yang berazam untuk meneruskan impiannya sebagai seorang peguam Syariah.

Namun, segalanya berubah apabila kakaknya, Emelda (Tiz Zakiah) terseksa akibat keganasan yang dilakukan oleh suaminya (Heryanto). Melihat kesungguhan Citra membela Emelda daripada penindasan suaminya, ibu bapa Citra akhirnya merestui perjuangannya.

Berlainan pula dengan nasib Seri, di mana dia terpaksa melupakan cita-citanya sebagai peguam Syariah. Di atas permintaan bapanya (Ahmad Tarmimi), Seri dipaksa bernikah dengan Ustaz Shauki (Eman Manan) yang selama ini telah membiayai pengajiannya Seri di luar negara. Malangnya, Seri menjadi mangsa deraan Ustaz Shauki yang sudah mempunyai 3 orang isteri (Eirma Fatima, Melissa Saila & Dira Abu Zahar). Seri juga terpaksa melupakan cintanya terhadap Solohudin (Remy Ishak), anak kepada Ustaz Shauki.

Situasi ini juga menghiris perasaan ketiga-tiga isteri Ustaz Shauki yang juga sangat cemburu terhadap Seri. Walaupun terseksa, demi keluarga Seri tetap tabah dan redha meneruskan hidup, jauh dari cita-citanya yang ingin berjaya sebagai seorang peguam Syariah. Akan tetapi, situasi bakal berubah apabila munculnya Armani (Neelofa).


Thursday, October 6, 2011

Stress ... kerana DIA!


Hari ni saya mc. Sakit kepala saya datang kembali. Tak lena tidur dibuatnya, asyik terjaga dan terasa kesakitan yang mencengkam di seluruh urat kepala saya. Dada saya juga sakit. Sebenarnya dah 2 malam perkara yang sama berulang tetapi semalam saya gagah juga pergi kerja, memandu selama 35 minit untuk pergi ke tempat kerja, tetapi bila sampai di tempat kerja denyutan di kepala saya tak hilang-hilang walaupun dua biji panadol telah saya telan.

Mak seperti biasa, bila saya sakit sebegini selalu membebel kat saya. Pertama sikap acuh tak saya dalam menjaga kesihatan. Tak suka makan ubat, tak suka jumpa doktor. Tapi hari ni kerana tak tertanggung rasanya saya pergi juga, dapat 2 hari mc, untuk hari ni dan esok.

Doktor kata saya migrain. Doktor tanya, saya ada stress tak? Hmmm ... bila Dr tanya saya jawab ada, tentang kerja. Tapi saya tahu saya bukannya stress pasal kerja. Faktor utamanya adalah DIA. Sejak berpisah dengan DIA saya terlalu banyak berfikir tentang DIA, menangis kerana DIA, merindui DIA ... memang semuanya membebankan kepala otak saya. Sebenarnya saya dah puas cuba membuang DIA jauh-jauh tapi saya tak dapat lupakannya. Segala yang indah ketika saya bersama dengan DIA sentiasa menerpa di kotak fikiran saya. Bila teringat kesakitan yang diberikannya .... mulalah airmata ini akan menitis. Saya tak tahu berapa lama saya akan pulih, saya dah cuba. Saya banyak dekatkan diri dengan Tuhan, berzikir, membaca yassin untuk ketenangan diri, tetapi saya masih tak dapat lupakannya. Mungkinkah semuanya salah saya kerana masih mengharap DIA datang kembali pada saya? Entahlah .... saya mengharapkan keajaiban .... saya mengharapkan Tuhan mendengar setiap doa saya.

Saya harap mendung hitam dalam hidup saya akan berlalu segera. Saya dah tak tahan sebenarnya menanggung segala beban. Saya jalani kehidupan saya seperti biasa, saya pergi kerja, saya jalankan tanggungjawab saya sebagai anak, sebagai cucu, saya tersenyum, saya ketawa, saya makan, tidur dan sebagainya tetapi jauh disudut hati saya saya menderita. Luka dijari nampak berdarah, tapi luka dihati tak siapa yang tahu. Sakitnya tidak tertahan rasanya .... hanya air mata peneman setia ... hanya blog ini saja sebagai curahan rasa ... 

Saturday, October 1, 2011

Happy Birthday, Danish

"HAPPY BIRTHDAY TO YOU
HAPPY BIRTHDAY TO YOU
HAPPY BIRTHDAY TO DANISH
HAPPY BIRTHDAY TO YOU"

Untuk manja saya Danish, Selamat Hari Jadi mak long ucapkan buat Danish. Mak Long sayang Danish sangat-sangat. Moga Danish membesar jadi anak yang baik, anak yang taat pada ibu bapa, pada perintah Allah dan menjadi anak yang cerdik. Danish permata hati mak long.

Cepat balik kampung, nanti mak long beli kek untuk Danish. I love you, sayang.

I'm Back



Assalamualaikum ....

Saya kembali semula menaip baris-baris ayat setelah menyepi seketika. Menukar kembali wajah blog saya supaya dapat menaikkan lagi mood saya ... ^_^ ... harap saya dapat meneruskan catatan-catatan harian saya bersama keluarga tercinta dan orang-orang yang saya sayangi. Merekalah inilah yang sering mewarnai hidup saya yang semakin dipanjat usia .... ^_^

Entri terakhir saya adalah  pada bulan May, manakala hari ini adalah hari pertama bulan Oktober, ini bermakna saya sudah menghilangkan diri dari dunia blog ini lebih kurang 5 bulan. Satu jangka masa yang lama. Bukan saya saja suka-suka menghilang dan kemudiannya timbul balik, tetapi kesibukan dengan kerja, keluarga dan ditambah terlupakan password blog saya ni  menyebabkan saya menyepi. Huhhhh, jenuh juga saya mengingati password saya ni .... fikir punya fikir, cuba punya cuba, akhirnya saya ingat juga.

Tu lah pasalnya, banyak sangat akaun di dunia maya ni ... password email, facebook, blog ... itu kalau ada satu akaun facebook, kalau tiga ... hehehe ... mana nak ingat ... blog pun blom tentu satu, ntah-ntah dua tiga ... hehe ^_^ tambah bila register akaun, gatal tulis password yang berbeza. Bak kata orang tua-tua, 'sendiri cari penyakit' ....Bila dah terlampau banyak sangat akaun, mulalah terfikir-fikir, 'akaun ni passwordnya apa ya?' ^_^ Apa-apa pun kita lupakan tentang kisah terlupa password, yang penting saya dah ingat semula passwordnya ... alhamdulillah bolehlah saya menyambung catatan-catatan kehidupan saya.

Terima kasih untuk teman-teman yang mengunjungi blog ini ... bila lihat di 'kotak pesanan' .... masih ada yang sudi meninggal pesan, menulis sesuatu walaupun sudah sekian lama blog ni tak aktif. Saya amat-amat menghargainya. Saya akan cuba meluangkan masa  di sini, memeriahkan dunia blog ini bersama sahabat-sahabat lain di luar sana. 

Jari-jemari saya berhenti mengetuk keyboard setakat di sini dahulu. Saya akan sambung kembali. Maklumlah hari ni hari cuti, masa untuk mengemas bilik yang dah seperti sarang tikus, sarang nyamuk dan segala jenis sarang ...  opppsss banyak teruk itu bilik ... hehe ....

Thursday, May 26, 2011

Cerita Tentang Squash

Hari ni hari ketiga saya bermain squash. Dah pandai dah hantar bola dan ambil bola. Cuma saya masih tak aktif berlari. Bila lari mesti terlanggar dinding punya. Macam tak leh brek jer kaki saya ... hehe. Tapi saya nampak perkembangannya. Saya sudah pandai sedikit. Sedikit pun tak apalah, janji lama-lama jadi bukit. ^_^

Hari ni main saya rasa tak best skit. Ramai students. Mula-mula tu malulah jugak. Penat halau budak-budak gi suruh tengok gelanggang sebelah, tapi gi kejap pas tu datang balik. Saya terperasan mereka rakam ngan hset. Hampes toi .... tu ader lah aksi yang akan masuk fb. Huhuhuhu geram toi ... bila ditanya, katanya tak der .. tak der ....

Apa-apa pun saya rasa seronok juga dengan aktiviti petang yang saya lakukan sekarang. Sekurangnya keluar gak peluh saya. Kalau lepas kelas terus balik rumah, sure saya terbaring depan tv punya. Hopefully cuaca sebelah petang senantiasa cerah. Hari hujan menyukarkan saya untuk pulang petang.

Apa-apa pun saya enjoy dengan aktiviti saya. Moga saya dapat mencapai matlamat saya. ^_^




Tuesday, May 24, 2011

Birthday Mak

Bangun pagi-pagi saya dah ucapkan selamat hari jadi kat mak. Siap buat lawak kat mak lagi, 'hmmm hari ni hari jadi mak, apa hadiah mak nak bagi kat saya?' ^_^ Mak gelak lagi sambil kata 'patutnya hari jadi mak, kamulah yang bagi mak hadiah untuk mak'.

Apa hadiah yang patut saya berikan kali ni untuk mak? Jenuh saya berfikir, setiap tahun saya akan belikan mak baju atau beg tangan atau pun tudung. Kali ni aper yer? Baru-baru ni sempena hari ibu, saya dah hadiahkan mak handset. Kasihan juga kat mak bila lihat dia masih menggunakan telefon lama, bateri kadang-kadang berfungsi dengan baik, kadang-kadangkala tidak.

Balik dari main squash dengan bb, saya ajak bb ke Tesco. Kononnya nak beli kek. Tapi bila tengok kek kat situ, rasa tak menarik pula. Bila difikirkan lagi, saya duduk berdua dengan mak, sure kek yang sebiji tu pasti saya akan habiskan kalau ada di peti ais. Makin tembamlah saya nanti. Akhirnya fikir-fikir punya fikir, tanda ikhlas saya ialah belanja mak makan kfc (bungkus bawa balik) dan dua potong kek. Satu untuk mak dan satu lagi untuk saya. 

Dalam kereta saya dah pesan kat mak, jangan masak malam ni sebab malam ni kita makan ayam kfc, cuma masak nasi untuk kucing saya jer. Sampai saja rumah, saya nyanyi beberapa baris lagu 'happy birthday' dan kemudian saya dan emak pun menjamu selera. Hmmm ... lama sudah tak makan ayam kfc, sedap pulak rasanya. Rasa macam nak lagi, mujur tengah diet ... hehe

Apa-apa pun saya rasa bahagia hari ni kerana saya berjaya membuat mak saya tersenyum bahagia hari ini. Saya kenal sangat perasaan hati mak, saya tahu sedikit sebanyak apa yang tersimpan dihati seorang ibu. Bukan hadiah permata yang diingininya, cuma sekadar ingatan dan perhatian dari anak-anaknya. "Mak, terima kasih untuk apa yang mak beri. Sokongan dan segala nasihat. Tanpa mak, saya memang tak mampu berdiri untuk meneruskan kehidupan ini. I LOVE YOU'.

Ini baki dua potong kek yang dibeli. Baru makan separuh, terlupa lak belum tangkap photo. ^_^

Selamat Hari Jadi, Ibuku Tersayang


Entri ni khas untuk mak saya. Ringkas sahaja tetapi penuh bermakna, lahir dari hati anakmu. "Selamat Hari Jadi mak, Semoga Bahagia dan Gembira Selalu. Moga mak sentiasa sehat, panjang umur dan moga dirahmati Allah selalu. Terima kasih mak, kerana bersusah payah menjaga dan membesar saya dan adik-adik. Sayang mak sangat-sangat. Jasa dan pengorbanan mak, tidak akan saya lupa.Saya tidak akan biarkan mak menangis lagi, takkan biarkan mak susah lagi. I LOVE YOU, Mak"

Main Squash

Hari ni hari kedua saya bermain squash. Letihnya tak terkira. Sebenarnya saya tak reti sangat nak main permainan ni, tak ternah terlintas pun difikiran saya untuk bermain permainan ini. Tetapi disebabkan tahun lepas, kawan-kawan saya, beria-ria mengajak saya bermain, jadi saya cubalah. Itulah pertama dan terakhir, pas tu saya tak sentuh lagi raket squash tu walaupun dipujuk dan dirayu oleh kawan-kawan saya.

Tapi kali ni saya sendiri yang rela hati nak bermain. Main tu tak reti, dah rasa macam main badminton pun  ader. Asyik tunggu bola pun satu, nak berlari malas. Semalam aderlah beberapa anak murid tengok saya dan kawan saya bermain, bukan main seronok mereka tengok saya bermain. Gelak sakan bila saya lintang pukang kejar bola terlanggar dinding ... adoi malunya ... tapi nak buat cam mana  ter accident ... hehe. Saya siap warning lagi kat budak-budak tu, jangan gatai-gatai nak tangkap gambar masuk facebook, siap saya kerjakan kalau saya tahu ^_^ 

Apa mimpinya saya main squash ni? Sebenarnya saya ada sasaran dan matlamat saya sendiri. Tetapi buat masa dan ketika ini biarlah semuanya menjadi RAHSIA. If berjaya pasti saya akan kongsikan di sini. Insya Allah, kalau panjang umur saya. Ikutkan kata hati memang saya melas. Ialah jadual saya agak penuh juga semester ni. Kelas pagi hingga petang ngajar, lepas ngajar nak main squash lagi. Malam pula nak kena study untuk kuliah esok, prepare power point atau nota students, dan kena fikirkan aktiviti kelas tutorial. Memang dah tak lalu dah badan. Tapi saya mesti semangat dan semangat. Malaysia Boleh! Saya juga Boleh! ^_^

Saturday, May 21, 2011

Jiwang Karat

Jam dah menunjukkan 12 malam ... saya masih terkebil-kebil kat depan pc ... nak tidur mata tak ngantuk lagi ... nak bersembang ngan kengkawan kat fb pun malas gak ... ^_^ yang ni aper hal nya penyakit malas saya datang kembali ...

Untuk hilangkan kebosanan, saya asyik update status saya kat fb ... nak tulis apa ya ... nak mengarut lagi kat status fb ... hmmm ... akhirnya 2 status ni yang lahir dari hati saya .... aduhhhh bosannya malam ni .... tapi dalam bosan jiwang karat gak ... huhhhh ....

Bulanku
Khabarkan padanya
Aku Rindu
Khabarkan jua padanya
Aku Setia menanti

Oh Bulanku
Sepi malam memelukku
Inginku segera datang kepadamu
Membisikkan ketelingamu "Awak, Saya RINDU"


Dari sini Ianya BERmula
Rasa itu BERsaTu
dan seterusnya
MENUJU KEBAHAGIAAN BERSAMA

^_^ SaRang HeYo

Monday, May 16, 2011

SeLamat hari Guru


GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Ini lah tema hari guru untuk tahun ni. Walaupun saya bukan seorang guru tetapi saya begitu teruja sekali bila tiba hari guru. Mungkin juga kerana saya seorang pendidik walaupun bukan cikgu sekolah. Pagi-pagi lagi saya dah dah dapat sms dari salah seorang kawan dan sepupu saya mengucapkan selamat hari guru kepada saya. Terima kasih banyak-banyak. sangat-sangat saya hargainya.

Sejak kecil, saya selalu mendengar peribahasa 'Guru Pelita Hidup, Membakar Diri untuk Menerangi'. Benar, tanpa usaha, tunjuk ajar, ilmu dan kesabaran seorang guru pasti saya tidak akan berjaya hingga hari ni. Siapalah saya tanpa mereka. Besar sungguh pengorbanan seorang guru kepada saya. Namun saya tak lupa juga kepada para pensyarah saya yang memberi ilmu kepada saya, walaupun tidak ada 'hari pensyarah' yang diraikan tetapi mereka juga tetap pendidik, dan mereka juga telah mengorbankan masa, tenaga, bersengkang mata, untuk memberi ilmu kepada anak-anak didiknya. Saya tahu itu, kerana saya juga seorang pendidik. Saya tahu penat lelah kerja sebagai seorang pendidik. Kalau pekerjaan lain masuk jam 8 mungkin keluar jam 4 atau 5, atau masuk jam 7 akan keluar jam 7 malam misalnya, dan malam akan punya waktu istirehat. Tapi kerja seorang pendidik, kerjanya tidak pernah selesai walaupun sudah pulang ke rumah, walaupun hari bercuti. Di sekolah, di kolej atau di universiti mengajar, balik rumah harus menyediakan bahan pengajaran untuk esok, harus study lagi, harus menyemak segala kerja-kerja, latihan mahupun assignment student. Harus memerah otak lagi bagaimana untuk mengatasi masalah pelajar, dan bagaimana untuk menarik perhatian pelajar supaya fokus di dalam kelas.  Sebab itu bagi saya, guru paling saya hormati. Tidak akan saya lupakan jasa mereka.

Buat semua guru saya di S.K. Sungai Rokam (1985-1987), S.K. Sungai Raya (1987-1990), S.M. raja Perempuan Ipoh (1991-1997) dan juga semua pensyarah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (1998-2001), (2003-2006), SELAMAT HARI GURU saya ucapkan. TERIMA KASIH CIKGU, TERIMA KASIH CIKGU dan TERIMA KASIH CIKGU

Wednesday, April 27, 2011

Jangan Malas!!! Jangan Malas!!!


Semester dah nak buka tetapi saya malas ... huhhhh apa kerja pun saya tak buat .... Waduhhhh!!!! Bangun!!! Bangun!!! Mesti semangat!! Jangan malas!!!! 

Apa nak jadi dengan saya!!! Kena ada rotan kat sisi saya agaknya. Pukul tapak tangan sendiri bila malas ^_^ ... huhhhh teringat zaman belajar dulu, Masa sekolah menengah, Puan Khatijah suka cubit kat pusat ... "sakitlah, cikgu" .. ^_^ ... masa sekolah rendah, ustaz selalu tarik kelopak mata. Tetapi saya tak pernah kena, budak lelaki yang kena ... hehe ...

Start esok, saya mesti siapkan semua kerja!!! hehe ... tengok ler nanti kalau rajin ...^_^ hmm... nakalnya saya ni ^_^


Catatan Kehidupan

Assalamualaikum ...

Pagi ni cuaca sejuk sekali. Saya baru sahaja pulang dari menghantar mak pergi kerja. Itulah rutin saya setiap hari. Saya juga belum bersiap untuk pergi kerja lagi. Rasa sejuk menyebabkan hati saya tertahan-tahan untuk mandi. ^_^ hmmm ... tak apalah. Saya boleh gi kerja bila-bila masa. Saya tidak terikat dengan jadual kelas kerana pelajar masih bercuti lagi. Ada 2 minggu lagi, baru semester baru akan buka.

Apa khabar teman-teman blog yang lain? Moga anda sihat, moga hati anda seceria dan secerah mentari pagi. Alhamdulillah saya sihat dari segi fizikalnya. Mental saya hehehe ... kurang sikit, sebab tu saya tak aktif sangat dengan dunia blog dan dunia fb saya. Tapi saya cuba untuk melawan segala keresahan dijiwa saya ... hmmm ... hari ni hari keempat ... hmmm ... mungkin anda tertanya-tanya apakah permasalahan yang membelenggu jiwa saya. (seperti pertanyaan saya selalu ... ada ke yang tanya? popular ke saya kat sini?) ^_^ tak apalah serba sedikit dunia blog ni adalah tempat untuk saya meluahkan. Mungkin tidak 100% saya luahkan tetapi serba sedikit sebahagian daripada kehidupan saya telah saya luahkan di sini.  Huhhh!!! entah apa yang saya merepek pagi-pagi ni ....

Banyak sebenarnya yang berlaku dalam kepada saya terutama 2 minggu belakangan ni. Semuanya citer sedih, citer tak best. Bak kata pepatah, sudahlah jatuh ditimpa tangga lagi, atau pun berat mata memandang, berat lagi bahu memikul tak pun pepatah yang paling sesuai malang tak berbau dah ler tersungkur kat jalan pas tu dilanggar kereta lak ... huhhhh ... ada ke pepatah cam gitu ^_^.

Jam 6.30 petang semalam, saya dapat panggilan dari mak cik saya. Baby Faresya masuk hospital. Usus kecilnya masuk usus besar. Kena buat pembedahan segera. Pembedahan tak boleh dilakukan di Ipoh. Harus dilakukan di Kuala Lumpur atau Kedah. Pak Cik saya telah memilih untuk menghantar Faresya ke Kuala Lumpur. Lepas dapat panggilan terus saya, mak dan mak we saya gi hospital. Melawat hospital malam-malam bukan senang, bukan waktu melawat. Mujurlah dapat naik juga lepas diberi penjelasan. Kesian tengok Faresya. Nangis dan nangis. Masa saya datang, doktor tengah merawatnya. Tengah tunggu doktor pakar datang jam 9.30 malam. Kesian saya tengok pak cik saya. Seminggu yang lepas pun ahli keluarga saya asyik turun naik bangunan hospital. Hari ni berulang lagi.
Mak cik saya ramai yang datang. Itu kelebihan keluarga saya. Apabila ada yang sakit, pasti semua akan hadir. Sikap ambil berat ni buat saya rasa bangga lahir dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga ini. Oh ya doktor mengesahkan Faresya akan dihantar ke hospital Kuala Lumpur jam 7 pagi ni. Akan terus dilaksanakan pembedahan. "Faresya cepat sembuh ya sayang, mak long tunggu Faresya kat sini". Sedih pula bila saya mengenangkan anak kecil bermata bulat besar tu akan menjalani pembedahan hari ni.

Minggu lepas (Khamis 21 April 2011) saya telah kehilangan pak cho saya buat selama-lamanya. 3 hari berturut-turut saya melawatnya di hospital. Pemergiaan yang tak diduga. Moga rohnya tenang di sana. Hari Selasa, saya lihat kesakitan dirinya. Tenat sekali. Sampai jam 11 malam saya dan ahli keluarga saya menunggu di hospital sehingga dia di bawa ke ICU. Lepas dimasukkan ke ICU, pak cho saya memang tak sedarkan diri lagi. Nyawanya memang hanya bergantung ke alat bantuan pernafasan. Begitu juga ketika hari terakhir saya mengunjunginya, masih tidak sedarkan diri. Dari kata doktor paru-paru pak cik saya dah rosak, begitu juga buah pinggangnya. Kuman juga sudah merebak ke paru-paru, darah dan jantungnya. Doktor yang merawat, memberitahu mereka telah cuba sedaya upaya memberi ubat yang terbaik supaya jantungnya boleh mengepam semula (berdenyut kerana ketika itu semuanya bergantung pada mesin) tetapi tidak berjaya. Doktor suruh kami berdoa banyak-banyak kerana Allah Yang Maha Berkuasa. 

Jam 5 pagi, hari Khamis, panggilan telefon di subuh hari, pak cho saya telah pergi untuk selamanya. Al-Fatihah. Pak Cho saya selamat dikebumikan di sebelah kubur anaknya Mohd Rini yang meninggal dunia 9 tahun lalu akibat penyakit asma.

Jam sudah mencecah ke angka jam 8.10 pagi. Saya stop sini dulu. Sebenarnya ada lagi nak saya coretkan di sini, nanti pas pulang kerja saya akan sambung semula. Lagipun mak dah pesan suruh gi bagi tau tok ngan opah tentang keadaan Faresya. Pak cik saya pun dah pesan semalam. Opah dan tok tak tau lagi. Mesti opah dan tok susah hati lagi. Dah la mereka berdua tak beberapa sihat.

Hmmm ... akhir kata dari saya ^_^ SENYUMLAH WALAUPUN HATIMU GUNDAH GULANA....

Sunday, April 3, 2011

Jalan-Jalan cari Makan Dengan Danish dan Pa

Last Sunday, 27 March 2011 saya telah keluar jalan-jalan cari makan dengan permata hati saya Danish dan Pa. Sebenarnya, inilah kali pertama saya bawa Danish dan Pa keluar setelah Danish keluar dari hospital. Lokasi yang dituju ialah TESCO. Danish dan Pa memang suka datang ke sini kerana mereka boleh bermain di sini. So saya tak nak cerita banyak-banyak kerana gambar-gambar yang saya tangkap ini telah menceritakan segalanya.