Saya cumalah wanita biasa. Anak kepada seorang Ibu yang banyak berkorban untuk masa depan anak-anaknya. Kakak kepada dua orang adik saya dan emak saudara kepada 3 putera dan seorang puteri saya.
Melalui blog ini saya ingin berkongsi cerita, pengalaman dan maklumat tentang saya, keluarga saya dan teman-teman yang bersama-sama mewarnai hari-hari saya. Sekadar catatan biasa.....
Petang ini saya kembali mencatat sesuatu. Apa nak story kali ini. Belek punya belek album gambar. Jumpa gambar Yaya yang terbaru. Gambar ni baru saya tangkap minggu lepas. Sebenarnya nak tangkap aksi Yaya meniarap, Yaya dah pandai meniarap. Tapi dalam masa yang sama terperasan yang Yaya ni dah tumbuh kening, dah lebat bulu keningnya. Kalau tidak botak jer keningnya ...
Yaya aksinya yang baru nak meniarap. Rasanya ini first time saya buat story tentang Yaya. Siapa Yaya? Nama sebenar Ana Munawwarah. Panggilan ibunya, Ara tetapi panggilan mak long dia ialah Yaya... hehe ... mak longnya memang pandai reka nama manja untuk cinta hatinya.
Senyuman Yaya manis sekali. Cukup pandai berposing depan kamera. Ikut jejak mak long ya Yaya, tak pernah diam dari kamera. Ada jer yang nak ditangkap.
Oh, ya kening Yaya ada bentukkan macam diukir dan ditulis? ... ^_^
Ini wajah AWANG pagi ni. seawal jam 9.30 pagi saya telah memberi AWANG ubat. Pas makan ubat, macam ni lah keadaannya. Lalok atau lebih mudah dikatakan mamai semacam. Memang dia tidur pun lepas tu. Lepas paksa AWANG telan ubat, saya paksa ia minum susu. Susu kan baik untuk kesihatan.
Kasihan kalau tengok photo-photo ni. Kurus kering AWANG.
AWANG, kucing kesayangan saya sakit. Sudah beberapa hari dia sakit. Dua hari tidak pulang ke rumah dan semalam dia pulang. Badannya semakin kurus. Lihat photo-photo di atas, gambar-gambar itu saya ambil semalam. Kurus sangat. Sudah melidi badannya. Berbeza dengan dirinya sebelum ini. Saya siapkan tempat tidurnya semalam. Moga tidurnya lena.
Ini ubat AWANG. Sebenarnya ini ubat vitamin. Saya minta pada mak cik saya. Mak cik saya membela kucing-kucing parsi, jadi dia mempunyai keperluan-keperluan kucing. Ubat vitamin ini saya minta, kerana AWANG tidak mahu makan. saya buatkan susu untuk AWANG tetapi dia tak mahu minum Akhirnya saya guna kekerasan, saya ambil sudu suapkan ke mulutnya. Saya bagi dia ubat, paksa dia telan. ^_^ telan juga akhirnya.
Tetapi terus terang saya katakan ubat vitamin kucing ni terlalu kuat bau ubatnya. Kalaulah ubat ini untuk saya, memag sah-sah saya tak makan. Tak lalu. Nak makan panadol pun payah ni kan nak makan ubat, yang saya cium baunya saya nak termuntah.
Wajah-wajah AWANG ketika sihat. Comel! Moga Awangku Sayang cepat sembuh, cepat montel kembali dan kembali cergas berlari ke sana ke mari.
Saya menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewajibkan para pelajar lulus sejarah di dalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini. Walaupun cadangan tersebut dikritik hebat oleh sesetengah pihak dengan alasan ia merupakan 'agenda politik' kerajaan. Syabas saya ucapkan atas cadangan tersebut. Moga dengan mewajibkan pelajar lulus sejarah, generasi muda hari ini tidak lagi BUTA SEJARAH.
Sebagai seorang tenaga pengajar di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta, saya tahu sangat kelemahan pelajar dalam ilmu sejarah atau kenegaraan Malaysia.Kadang-kadang rasa malu melihat mereka, Apabila ditanya tentang soalan-soalan asas tentang negara, mereka masih tidak tahu. Walhal sejak dari kecil subject sejarah ini sudah diajar. Apabila saya bertemu dengan para pelajar untuk pertama kali dalam kelas, perkara utama saya tanya ialah "Sebutkan nama Perdana Menteri Malaysia dari pertama hingga sekarang?", "Sebutkan Rukun Negara. Sebut ikut urutan?", "Bila tarikh Malaysia dibentuk?" dan "Sebutkan lirik lagu Negaraku". Pelikkan soalan saya. Untuk pelajar-pelajar sudah lulus SPM, sudah menyambungkan pelajaran ke peringkat Diploma, saya masih bertanya soalan asas tentang negara. Dari situlah saya tahu tahap mereka. Kebanyakan dari mereka akan tergagap menyebut nama Perdana Menteri Malaysia, urutan yang tidak betul diberi kepada saya, tergagap-gagap menyebut Rukun Negara (mulalah mencari belakang buku tulis untuk mendapatkan jawapan) dan ada juga yang memberitahu hari Malaysia dibentuk ialah pada 31 Ogos 1957. Malahan ada juga pelajar yang memberi jawapan tidak tahu kepada saya. Aduhaiiii ... apa nak jadi dengan generasi muda hari ini? Ke manakah hilangnya semangat nasionalisme dan patriotisme dalam diri mereka?
Semoga usaha kerajaan mewajibkan lulus mata pelajaran sejarah dalam SPM akan menyedarkan para pelajar betapa pentingnya ilmu sejarah ini. tanpa sejarah kita tidak boleh maju ke hadapan. Pengalaman lalu harus dijadikan iktibar.
Orang yang menyayangimu bisa marah, tetapi tidak mampu untuk membencimu, Orang yang menyayangimu bisa menangis tetapi tidak mampu melihatmu menangis.
"Biarlah saya menangsi, tetapi saya tidak akan membiarkan setitis pun airmatamu mengalir ... Saya cinta awak Saya sayang awak Biar apa pun yang datang saya akan laluinya kerna kekuatan saya adalah CINTA awak ...
Saya kembali lagi, mencatat sesuatu di sini untuk dikongsi bersama. Rasa macam sekejap sahaja, sudah sampai ke tahun baru hijrah. Pejam celik pejam celik dah setahun. Dan usia kita juga semakin meningkat dari tahun ke tahun tetapi adakah amalan-amalan kita juga semakin meningkat? Tepuk dada tanya selera. Saya akui untuk diri saya, masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki terutama dari sikap/ tingkah laku, keimanan dan ketakwaan, ilmu dan karier saya.
Minggu lepas dalam kelas tamadun, anak-anak saya sibuk bertanya, "Cik selasa depan cuti kan?" "Ya, cuti, jadi kelas kita akan diganti pada hari lain". Jawab saya ringkas. "Cuti awal Muharram kan Cik?" tanya salah seorang anak saya. Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala saya. Anak-anak saya ni memang kalau bab-bab cuti ni memang seronok. "Cik, kenapa orang Islam sambut perayaan Awal Muharram? Awal Muharram tu perayaan apa Cik?"Tanya seorang lagi. Saya memandang ke arah Melody (pelajar yang bertanya soalan tersebut). Walaupun dia bukan berbangsa Melayu, bukan beragama Islam tetapi dia memang berminat untuk mengetahui. Jadi saya menerangkan satu demi satu tentang Hijrah. Bermulanya dengan kisah penentangan orang Quraisy di Makkah, penghijrahan nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, Persaudaraan antara orang-orang Muhajirin (orang Islam Makkah) dan Ansar (Orang Islam Madinah), permulaan kalendar baru bagi umat Islam serta penghijrahan dari sesuatu yang buruk kepada kebaikan. Alhamdulillah. Mereka berminat mendengar cerita saya. Sesekali mereka menyampuk, dan secara tak langsung mereka teringat balik apa yang mereka telah pelari di sekolah dahulu. Pelajar saya berbangsa Cina semuanya, 48 orang pelajar, syukur sangat kerana mereka berminat untuk mengetahuinya. Itu yang buat saya sayang kepada mereka.
Oh ya, berbalik semula kepada cerita saya, hmmm ... ramai yang tanya apakah azam saya tahun baru ini? Saya tidak mempunyai apa-apa azam. sudah beberapa tahun saya membuat azam, tetapi azam saya itu tidak tercapai juga. Cuma saya ada keinginan saja. Moga keinginan saya itu akan dimakbulkan Allah. Buat diri saya, satu ayat untuk saya "Cekalkan hati, bersemangat untuk bertempur di dunia yang mencabar ini, ingat Allah selalu dalam apa jua tindakan".
Lirik Lagu Maal Hijrah
Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah
Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta
Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan
Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman
Hari Ahad datang kembali. Tinggal saya dengan adik di rumah. Mak hari ini bekerja. Sudah puas saya melarang mak bekerja lebih masa tetapi macam-macam alasan yang diberikannya kepada saya.
Hari ni juga, genap 3 hari saya bercuti. Bosan sangat. Saya menghabiskan waktu cuti saya dengan duduk di rumah. Mengadap komputer menyiapkan nota-nota dan menyemak kertas jawapan dan juga study. Rutin yang sama setiap hari walaupun hari bekerja. Cuma petang sabtu semalam, saya pergi ke rumah opah dan tok. Memang setiap petang Sabtu dan Ahad saya akan menghabiskan masa di rumah opah dan tok.
Masa saya datang semalam, saya tihat tok saya sedang sedang mengadap pokok cabainya. Hmmm ... sayang betul tok saya dengan pokok cabainya. Tok sedang menyembur racun serangga pada semut-semut yang hinggap kat dahan pokok. (Sebenarnya opah tak bagi tok sembur racun sebab takut pokok tu mati, tapi tok geram melihat semut-semut yang merosakkan daun-daun cabai) Bercakap tentang pokok cabai ni, saya lihat tok memang menjaga pokoknya ini dengan penuh kasih sayang, umpama menjaga anaknya sendiri. Kadang kala saya suka melihat gelagat tok. Dia akan duduk lama memerhatikan buah cabainya. Tok tak akan petik selagi betul-betul tak masak. Tok kata, dia suka melihat buah-buah cabai yang banyak tu. Tok lebih rela menyuruh saya membeli cabai di kedai dari memetik cabainya.
Dan semalam sempatlah saya menangkap gambar-gambar pokok cabainya kesayangan tok.
P/s: setiap dari kita pasti ada hobi masing-masingkan. Ingat dulu waktu sekolah, bila cikgu tanya, 'apa hobi anda?' dan saya pasti akan menjawab 'kumpul stem, cikgu' ... hmmm ... tapi banyak ke stem yang saya kumpul? hehe ... tepuk dada tanya selera ... hehe ^_^
Hari ni saya kembali setelah beberapa minggu menyepi dari dunia blog. Kesibukan dengan pekerjaan membuatkan saya terpaksa menghadkan waktu saya di sini. Dan apabila ada waktu-waktu terluang saya lebih suka mengadap FB, mengadap games (berladang, apa lagilah kerja saya) untuk merehatkan minda dan berbual bersama sahabat-sahabat saya di FB terutama Yoyam, Ilana, Fahris, Izal, Rahma, Ayang, Udin dan ramai lagi.
Pagi Jumaat ini cukup tenang dan indah. Jam 6.40 pagi saya menghantar emak ke tempat kerja. Melihat keindahan alam di waktu pagi memang menggembirakan hati saya. Hari ini saya bercuti. Habiskan cuti tahun. Pantas sekali masa berlalu. Hanya tinggal sebulan lebih lagi dan kita semua akan meninggalkan tahun 2010. Begitu juga usia kita, meningkat dari setahun ke setahun dengan cepat sekali. Pejam celik, pejam celik , hari sudah bertukar, masa sudah berganti. Bak kata pepatah, 'rumah kata pergi, kubur kata mari'. Tapi amal ibadat saya, adakah makin bertambah? Hmmm ... masih banyak kekurangan lagi. Insya Allah saya akan cuba perbaiki. Kebahagiaan yang saya kejar bukanlah kebahagiaan di dunia sahaja tetapi di sana (akhirat) tempat kita yang kekal abadi.
Apa aktiviti saya hari ini? Entahlah, saya pun masih belum pasti lagi. Cuma sebentar lagi saya mahu keluar, pergi EON Bank. Ada sedikit urusan di sana. Lepas itu, cadangnya ingin mengadap kertas-kertas latihan dan ujian pelajar-pelajar. Kerja yang tak pernah selesai. dari tempat kerja hingga ke rumah hingga ke hari cuti. Hmmm ... jangan merungut ya. Terima semuanya dengan ikhlas.
Saya berhenti dahulu. Nanti saya sambung, perut dah berbunyi, minta diisi ... badan pun dah ada bau-bau kambing ... hehe ... ehhh iya ke??? arghhh mana ada? wangi aja .... ^_^